Saturday, February 8, 2025

Faizal Tahir Angkat Identiti Melayu Di Jati Diri

Penyanyi dan komposer, Faizal Tahir mengetengahkan mesej supaya masyarakat tidak melupakan asal usul, akar budaya dan identiti Melayu yang kini semakin ditelan arus globalisasi menerusi album terbaharu berjudul Jati Diri.

Menariknya, majlis pelancaran album Jati Diri menampilkan konsep unik bertemakan 'kenduri kendara' dan 'rewang' di Bagan Lalang, Sungai Pelek, baru-baru ini.

Konsep dipilih bukan sekadar sebagai tema majlis pelancaran, tetapi sebagai lambang budaya dan nilai perpaduan yang ingin diketengahkan dalam karya baharunya.

Faizal berkata, konsep itu sangat dekat di hatinya kerana ia melambangkan semangat gotong-royong, perpaduan dan kebersamaan yang semakin pudar dalam masyarakat moden.

Konsep ini menggambarkan perkara baik wajar dikongsi bersama. Apabila berkumpul untuk sesuatu yang positif, kita bukan sahaja memperoleh keberkatan Allah, tetapi memperkukuhkan semangat kasih sayang antara satu sama lain," katanya.

Menurut Faizal, album Jati Diri bukan sekadar karya muzik, malah ia juga sebagai peringatan.

"Saya mahu melihat berapa banyak jati diri yang semakin hilang.

"Saya ingin ingatkan masyarakat mengenai kepentingan memahami dan menghargai asal usul, budaya dan agama agar tidak hilang arah," katanya.

Album Jati Diri hasil kerjasama Faizal bersama penerbit muda, Glowrush turut menampilkan dua figura hebat dalam industri muzik, Altimet dan Datuk M Nasir sebagai penyanyi undangan.

Pemilihan dibuat kerana pengaruh besar dan kebijaksanaan mereka dalam menyampaikan mesej bermakna melalui karya.

Dari segi susunan muzik dan lirik, Jati Diri berbeza daripada album Faizal sebelum ini kerana ia lebih berakar kepada budaya dan warisan tempatan.

Faizal berkata, cabaran terbesar dalam proses rakaman adalah memastikan setiap elemen dalam album sejajar dengan visi dan mesej yang ingin disampaikan.

"Orang Kampung adalah lagu pertama dalam album. Karya ini ceria, penuh semangat, meraikan keunikan dan nilai kehidupan di kampung.

"Dengan melodi rancak dan lirik menggambarkan keindahan budaya dan sikap mesra orang kampung, lagu ini membawa pendengar merasai kehangatan suasana desa.

"Ia bukan sekadar hiburan, tetapi satu penghormatan kepada nilai dan semangat kebersamaan yang masih kuat dalam masyarakat kampung," katanya.

Tambah Faizal, lagu Orang Kampung mengajak pendengar menghargai asal-usul dan keindahan hidup sederhana yang penuh kebahagiaan.

"Saya berusaha menyampaikan mesej melalui muzik kreatif dan kontemporari tanpa mengorbankan nilai tradisional.

"Album Jati Diri menggabungkan elemen muzik tradisional dengan sentuhan moden agar kekal relevan di hati generasi lama dan muda," katanya.

No comments:

Post a Comment

Going to prison is quite enlightening - Along Cham

Actor and comedian, Along Cham, 42, described his experience in detention at Sungai Buloh Prison, early last month, as a moment of enlighten...